24.12.07

CINTA DALAM ISLAM

_______________________

بسم الله الرحمن الرحيم

MUQADDIMAH

Kewujudan manusia merupakan keunikan alam anugerah Allah. Komunikasi antara mereka memperlengkapkan survival sebuah kehidupan, manakala hubungan raya manusia dan penciptanya pula menempah kejayaan hakiki. Manusia memiliki fitarah kejadian yang seni dan agung jua sebagai pembalut naluri yang berfungsi untuk membina kestabilan asas keinsanan seorang manusia.

Cinta menepati satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesar manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.

Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spritual-membunuh solidariti dan menodai sosial.

Individu mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta yang mengenai jiwa. Cinta yang berlogikkan nafsu dan syahwat hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina.

Cinta yang dinaungi kesucian fitrah dan berpandukan akidah Islamiah ialah cinta hakiki yang membina realiti kemakmuran dan mengundang keampunan Allah.

CINTA DI PENYATA WAHYU

Menelusuri cinta bahagia dan hakiki sayugianya melangkah melalui lebuh

raya yang luas terbentang menuju penyata Ilahi. Sebarang lorong dan alur rentas yang tidak menuju Irsyadur Rabbani hanyalah mempertemukan cinta dan nafsu dalam serkap yang gelita.

Melalui penyata yang juga merupakan surat kiriman dari Allah tertera mengenai

cinta.

a) Cinta kehadrat Ilahi.

Ketinggian nilai taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui skil

cinta murni kehadrat Ilahi. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan ia menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah. (أول الدين معرفة الله ).

Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab

pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.

Meletakkan diri dalam zumrah orang-orang yang menyintai Allah mestilah

bertindak penuh dengan mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.

Pencinta Allah adalah pemilik iman yang komited merangkap pejuang yang

dinamis.Mereka menanggapi kewujudan Allah sebagai Qadhi Rabbul Jalil yang tiada tandingan.

Individu mukmin dalam memburu kesempurnaan ibadat dan kejayaan perjuangan sepastinya merangkul erat nilai cinta kepada Allah.

1. تقرب إلى الله

2. مراقبة الله

3. جهاد فى سبيل الله

Kecintaan kepada Allah antara semboyan untuk mengundang nusrah dan cinta

Allah sedangkan nusrah dan cinta Allah pula menjadi saranan terpenting yang digunakan untuk menjamin keistiqomahan dan kekuatan dalam menghadapi konspirasi musuh-musuh Allah .

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat kepada-Nya.

b) Kecintaan kepada Rasul

Perutusan duta besar المصطفى ملعم adalah pemegang mohor yang maha Agung

untuk menguruskan dan mengendalikan titah perintah عزوجل sehingga terlaksana pengabdian diri kepada Allah dan pembenterasan الطواغيت

Justeru itu menjadi hak mutlak bagi Baginda Rasul saw bahawa ia semestinya

dicintai lantaran Baginda telah berselut lumpur menghidupkan obor diri sekaligus menyungkurkan puak jahili.

Menyintai Baginda Rasul saw bererti memberi syahadah dan ikatan bai’ah demi perlaksanaan syariat Allah SWT.

Realiti cinta kepada Saiyidil Mursalin saw mampu menghadirkan cinta Allah

sebagai satu gandingan cinta sejagat. Cinta inilah yang berenergy tinggi ke lokasi tenang dan bahagia serta penyelamat dari sentuhan azab.

c) Cinta mukmin

Interaksi cinta sesama mukmin antara pembuluh yang menyalurkan ‘Izzah dan

Himmah Ummah Muhammadiah. Keprihatinan Islam mengorientasi ummah berkombinasi dan bersepadu adalah melalui perlaksanaan program ukhuwwah Addiniah yang bercagarkan percintaan sesama insan.

Jalinan erat hati dan tenaga sesama mukmin,menyuburkan semangat تناصر dalam pembinaan akidah yang mantap,sosial yang sihat dan kekuatan tenaga yang ampuh.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :

لا تحاسدوا ولا تناجشوا ولا تباغضوا ولا تدابروا ولا بيع بعضكم على بيع بعض وكونوا عباد الله إخوانا المسلم أخو المسلم لا يظلم ولا يخذله ولا يحقره التقوى ها هنا ويشير إلى صدره ثلاث مرات ( أخرجه المسلم )

Akidah yang mantap, sosial yang sihat dan kekuatan yang ampuh merupakan senjata serampang tiga yang efektif untuk menggempur elemen jahiliyyah dan menangani manipulasi Al-Ahzab moden. Berlangsungnya pembelengguan dan penjajahan ummah kini lantaran ketandusan cinta dan kegersangan kasih sayang. Dunia kini merintih kehausan عدالة – سعادة – ومحبة angkara retaknya solidariti ummah.

PENUTUP

Hidup manusia menjadi pasif tanpa cinta bahkan bertaraf durjana tatkala tiada nilai cinta rabbani yang menjadi asas pergerakan manusia membebaskan diri daripada kepungan api neraka Allah. Justeru itu cinta harus dipertemukan dengan fitrah demi kesejagatan Al-Hayah anugerah Allah.

Manusia wajib mencintai Allah, Rasul sesama mukmin sebagai teras pembinaan daulah Islamiah Al-Fadhilah. Tanpa cinta berperspektif Islam dunia akan binasa dan musnah dek kemarau Nusrah dan Hidayah Ilahi serta permusuhan manusia yang berpanjangan.

Nilai cintalah,ummat menjadi satu dan ‘izzah menjadi milik mereka.


khas untuk mu teman : mar

note : peringatan untuk kita bersama agar diberkati oleh Allah Taala...amin

No comments: